Shafie Mahu Persekutuan Selesai Isu Bayaran Hasil 40 Peratus Tahun Depan

KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal menegaskan Kerajaan Persekutuan perlu menyelesaikan isu tuntutan pembayaran 40 hasil yang dikutip dari negeri kepada Kerajaan Sabah tahun depan.

Ketua Menteri berkata, beliau tidak mahu isu tersebut berlarutan sehingga pilihan raya umum akan datang sebaliknya tempoh masa telah diberikan perlu ditepati.

“Memang ada tempoh masa kerana kita juga tidak mahu ia berterusan. Sebolehnya kita atasi tahun depan, tidak boleh tangguhkan lagi, bagaimanapun kerangka ini mempunyai empat perkara yang melibatkan pindaan Perlembagaan dan beberapa isu perlu diperhalusi.

“Kita memang kena ada ‘dateline’ dan ini bukan jalan terakhir. Bila pungut hasil, 40 peratus harus diberikan kepada Sabah namun, kita kena lihat kerangka perundangan yang ada,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Masidi Manjun (Karanaan-Bersatu) yang mahu penjelasan daripada kerajaan tentang tempoh masa diperlukan untuk tuntutan berkenaan.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Datuk Dr Jeffery Kitingan (STAR-Tambunan) yang bertanyakan pencapaian Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 pusat tentang hak-hak Sabah, Mohd Shafie berkata dalam mesyuarat jawatankuasa itu semalam, beberapa pendekatan telah kerajaan negeri kemukakan.

Katanya, cadangan telah diberikan kepada Kerajaan Persekutuan supaya Sabah memiliki 20 peratus saham Petronas agar negeri ini tetap mendapat dividen jika pembayaran royalti tidak dapat dibuat dalam tempoh terdekat.

“Kalau kita pemilik, kita dapat pendekatan lain, namun ia akan mengambil masa kerana proses ini bukan mudah. Saya tahu kita boleh mengambil tindakan undang-undang tetapi sejauh mana kita boleh pergi.

“Dalam kehidupan yang penting bukan pertelingkahan, kita sedar sudah 50 tahun lebih kita tunggu tetapi dalam tempoh 55 tahun ini hanya kerajaan penggal ini sahaja yang serius menyelesaikan isu ini,” tegas beliau.

Beliau berkata, kelulusan lapan daripada 21 tuntutan yang dikemukakan oleh Sabah dan Sarawak dalam Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jelas membuktikan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memenuhi tuntutan hak kedua-dua negeri berkenaan.

Mohd Shafie berkata, lapan tuntutan itu termasuk duti eksport balak dan hasil hutan, pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik, Kerja Raya Persekutuan dan negeri, tenaga buruh, kuasa negeri ke atas isu kesihatan, kuasa Sabah ke atas pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, isu pertanian dan perhutanan serta obligasi kewangan Persekutuan di bawah senarai bersama.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *