Pembalakan Haram: Dua Didenda Rm50,000, Penjara

TAWAU: Dua Pendatang Asing Tanpa Izin dipenjara dan didenda sebanyak RM50,000 masing-masing oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan menceroboh dan menebang balak di kawasan hutan simpan di Semporna baru-baru ini.

Dalam kes pertama, Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuh hukuman penjara enam bulan dan denda RM50,000 terhadap Hildam Tandangan, 40, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 20(2) Enakmen Hutan 1968 iaitu dengan niat mengangkat dan memindahkan kayu di Hutan Simpan Mt Pock.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu semasa ditahan penguat kuasa Pejabat Perhutanan Daerah Semporna pada pukul 12 tengah hari, 9 November lalu.

Awang Kerisnada turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan lagi jika gagal membayar denda.

Bagi kes itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perhutanan Alexius Pius manakala semua barangan eksibit iaitu 84 batang kayu balak dan gergaji dilupuskan hak daripada tertuduh.

Bagi kes kedua, seorang lagi PATI, Madharun Sampiun, 44, mengaku bersalah membalak di Hutan Simpan Timbun Mata Kelas 1 pada pukul 2.30 petang, 11 November lalu.

Hakim Awang Kerisnada memerintahkan tertuduh didenda RM50,000 dan penjara selama 12 bulan serta tambahan enam bulan lagi jika gagal membayar denda.

 Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 20(2) Enakmen Hutan 1968 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun.

Bagi kes tersebut, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perhutanan, Mohd. Arapa Lamuda.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *