Seekor Lagi Bangkai Gajah Pygmy Ditemukan Di Kinabatangan

Sebelum ini bangkai gajah Pygmy turut ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit Bimbingan 2, Beluran. – Gambar Fail SNT

KINABATANGAN: Bangkai seekor lagi gajah pygmy ditemukan di Kinabatangan hari ini, menjadikan bangkai gajah kedua ditemukan di daerah ini, bulan ini.

Ketika mengesahkan penemuan bangkai itu di Sukau dekat sini, Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga bagaimanapun berkata, beliau masih belum menerima maklumat terperinci mengenai bangkai itu.

“Saya juga baru dimaklumkan mengenai penemuan bangkai itu dan tidak dapat memberikan apa-apa maklumat lanjut.

“Bagaimanapun, kita tunggu dahulu laporan daripada sepasukan pegawai daripada JHL yang sedang dalam perjalanan ke lokasi bangkai gajah ditemukan untuk membuat siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Kata Tuuga lagi, sebaik sahaja laporan daripada pasukan JHL itu diterima, satu laporan polis akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan.

Bangkai gajah itu merupakan yang kedua ditemukan di Kinabatangan, selepas bangkai seekor gajah jantan ditemukan terapung di Sungai Kinabatangan pada 3 Nov lepas. 

Sebelum ini, bangkai dua ekor gajah ditemukan dengan kesan tembakan masing-masing di Sungai Dumpas di Kalabakan, Tawau pada 25 Sept lepas dan di sebuah ladang sawit di Beluran pada 19 Okt lepas.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *