Jurujual Nyaris Maut, Kereta Dipandu Terbakar Di Jalan Tuaran Bypass

Pasukan bomba memadam kebakaran kereta di Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan IPD KK

JURUJUAL NYARIS MAUT KERETA TERBAKAR

KOTA KINABALU: Seorang jurujual nyaris maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit lalu terbakar di Kilometer 15.5 Jalan Tuaran Bypass, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, lelaki berusia 24 tahun yang memandu seorang diri itu sempat keluar sebelum kereta jenis Perodua Myvi miliknya itu terbakar.

Kereta mangsa terbakar selepas terbabas ke dalam parit di Kilometer 15.5, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata siasatan awal mendapati mangsa bergerak dari Penampang menuju ke Jalan UA1.

“Sebaik tiba di lokasi kemalangan, kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas sebelum masuk ke dalam parit.

“Beberapa minit kemudian kereta itu terbakar disyaki berpunca daripada pintasan api dari wayar bateri dan kes tersebut disiasat mengikut Peraturan 10 LN.166/59,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.50 pagi.

“Sebaik tiba dilokasi kejadian, kereta itu masih terbakar dan operasi pemadaman segera dilakukan bagi mengawal api kebakaran,” katanya.

Beliau berkata operasi berkenaan tamat pada pukul 7.18 pagi. SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *