JHL, Polis Kerjasama Cari Suspek Racun Gajah Di Kinabatangan

Pasukan Penguatkuasaan, Taktikal, Operasi dan Perlindungan (SFD Protect) Jabatan Perhutanan Sabah melakukan rondaan untuk mengesan pemburu haram.

KOTA KINABALU: Ranger Jabatan Hidupan Liar (JHL) akan bekerjasama dengan polis mengenal pasti dan mengesan pihak yang terlibat dalam kematian terbaharu gajah Borneo di Ladang Kelapa Sawit Melangking, Sukau pada semalam.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata, gajah yang dinamakan sebagai Girang yang ditemui mati di ladang berkenaan pada pukul 5.50 pagi dipercayai mati akibat keracunan toksemia (keracunan pada sel darah) hingga menyebabkan kegagalan organ dalaman haiwan itu berfungsi.

CHRISTINA LIEW

Beliau berkata, gajah yang dianggarkan berusia 20-an itu mati pada 14 November lalu dan bedah siasat mendapati terdapat sekatan pada jantung, paru-paru dan buah pinggangnya selain bahagian hati dan limpa juga turut mengembang serta kerosakkan pada usus.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, pasukan penyiasat dan veterinar JHL Sabah telah dihantar ke lokasi yang terletak lima kilometer dari Sukau bagi menjalankan bedah siasat dan proses itu selesai pada petang semalam.

“Kami sedih dan terkejut dengan kehilangan seekor lagi hidupan liar yang mati akibat sikap tidak bertanggungjawab dan kejam sesetengah individu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan data daripada kolar gajah menunjukkan pergerakan haiwan itu direkodkan beberapa hari sebelum ditemukan mati.

Jelasnya, biarpun ranger JHL berada di situ bagi menjalankan pemeriksaan yang kerap terhadap pergerakan gajah melalui satelit, namun insiden kematian gajah masih berulang.

“Oleh itu, kami merayu kepada orang ramai yang tahu siapa yang terlibat di sebalik pembunuhan kejam gajah ini untuk tampil memberikan maklumat secepat mungkin.

“Pembunuh terlibat harus dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.

Menurutnya, suspek seolah-olah mencabar undang-undang di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang memperuntukkan pelbagai kesalahan dan hukuman serta denda yang boleh dikenakan ke atas pesalah yang terlibat dalam jenayah membabitkan hidupan liar.

Girang antara tiga gajah yang dipakaikan kolar satelit bagi tujuan program penyelidikan saintifik oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengetahui corak pergerakan hidupan liar itu di Sanktuari Hidupan Liar di Hilir Kinabatangan.

Penemuan bangkai gajah terbaharu itu merupakan gajah kelima ditemukan mati dalam tempoh dua bulan ini.

Penemuan pertama adalah di Sungai Udin, Dumpas, Tawau pada 25 September, diikuti pada 20 Oktober di Beluran.

Kemudian diikuti dengan penemuan dua bangkai gajah antara 1 hingga 3 November masing-masing di Sungai Kinabatangan dan ladang sawit di Lahad Datu.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *