Tikam Rakan Hingga Maut, Dua Lelaki Ditahan

Dua lelaki ditahan selepas disyaki terbabit kes pembunuhan seorang lelaki di Kampung Numbak, Kota Kinabalu, malam tadi. -Gambar SNT/Ihsan IPD KK

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dibunuh dengan tiga tikaman di badan dan kepala oleh dua rakan sekampungnya dalam kejadian di Kampung Numbak, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa Samsul Robert, 20-an, ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan separuh sedar dan berlumuran darah disyaki ditikam.

Mangsa yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri kemudian dibawa menggunakan kenderaan ke Balai Polis Alam Mesra sebelum dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas, untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia pada jam 12.44 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati ketika kejadian berlaku pertengkaran antara mangsa dengan suspek sebelum tercetusnya pergaduhan.

“Mangsa ditikam menggunakan sebilah pisau dibahagian pinggang kiri, punggung kanan dan bahagian belakang kepala.

“Kedua-dua suspek lelaki berusia 24 dan 27 tahun warga tempatan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, suspek merupakan rakan sekampung mangsa dan setakat ini punca kejadian disebabkan perselisihan faham.

“Sebilah pisau ditemui dipercayai senjata yang digunakan suspek ketika kejadian.

“Siasatan lanjut diteruskan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian itu.

“Kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *