(VIDEO) Peragut Ditahan Orang Awam Berhampiran Suria Sabah

KOTA KINABALU: Jeritan wanita mangsa ragut meminta tolong membawa kepada tangkapan suspek yang melakukan jenayah itu tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa berusia 26 tahun mengalami kecederaan pada lutut dan paha kiri akibat terjatuh ketika cuba mengejar suspek.

Ketika kejadian, mangsa bersama seorang rakannya sedang minum di sebuah restoran di Jalan Gaya, di sini, sebelum beg tangannya tiba-tiba ditarik oleh seorang lelaki yang kemudian melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata sebaik diragut, mangsa dan rakannya terus mengejar suspek yang melarikan diri ke arah pusat beli-belah Suria Sabah.

Katanya, mangsa kemudian menjerit meminta pertolongan kepada orang awam yang kebetulan berada di kawasan berkenaan sebelum suspek ditahan.

“Suspek dihantar ke Balai Polis Kota Kinabalu oleh orang awam yang menahannya.

“Suspek berusia 23 tahun dan berstatus pemegang pemastautin tetap berasal dari Filipina.

“Mangsa turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mangsa dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE1) untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *