Kewujudan Pejabat Daerah Kalabakan Baharu Mampu Tingkat Pembangunan Ekonomi

Ewon (lima dari kiri) bersama Hamisa (tiga dari kanan) serta pegawai lain bergambar kenangan selepas merasmikan pra pelancaran Pejabat Daerah Kalabakan. – Nasrawati Syarifuddin

KALABAKAN : Daerah ini dilihat berpotensi besar dalam pembangunan ekonomi dan sosial seperti Tawau selepas wujudnya Pejabat Daerah Kalabakan yang telah memulakan operasinya pada awal tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Ewon Benedick berkata langkah kerajaan untuk mewujudkan pentadbiran sendiri daerah Kalabakan sangat bertepatan dan wajar dilaksanakan.

“Ini satu sejarah kepada rakyat Kalabakan kerana akhirnya mempunyai pejabat daerah berstatus penuh dan saya percaya ia akan memberi perkhidmatan lebih baik terhadap urus tadbir pembangunan di sini. 

“Daerah ini perlu ditambah baik dari semasa ke semasa untuk mempersiapkan cabaran yang akan di hadapi dan membangunkan potensi sedia ada serta potensi baru yang kita dapat daripada perpindahan Ibu kota Indonesia” katanya ketika berucap sempena perasmian Majlis Pra Pelancaran Pejabat Daerah Kalabakan di sini, hari ini. 

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat; Timbalan Majlis Perbadaran Tawau, Koh Lian Leong dan mantan Pegawai Daerah Kalabakan, Jablee Jaratul.

Menurutnya pejabat daerah yang baharu dan kakitangannya diharapkan dapat memberikan suntikan semangat untuk memastikan pembangunan di daerah ini terlaksana dengan jayanya.

“Saya percaya wakil rakyat dan kepimpinan di peringkat daerah Kalabakan sedang dalam rancangan untuk menyediakan pelan pembangunan yang lebih komprehensif bagi memudahkan kerajaan menyediakan peruntukan bersesuaian dalam pelan pembangunan itu. 

“Ini termasuklah program kampung dan Mini Estate Sejahtera yang sudah dilaksanakan. Bermula tahun depan KPLB akan melaksanakan banyak lagi program dengan sejumlah peruntukkan tertentu oleh kerajaan negeri,” jelasnya. 

Ewon berkata program yang dijalankan itu untuk membantu daerah-daerah yang mempunyai perusahaan pelancongan berasaskan komuniti seperti menyediakan peruntukan jalan raya menuju ke pusat pelancongan.

“Kementerian juga menyediakan program bekalan air luar bandar untuk membekalkan air bersih khusus untuk kampung-kampung yang belum mendapat bekalan air bersih daripada Jabatan Air Sabah.

“Selain itu, KPLB juga ada memperkenalkan program bekalan elektrik luar bandar alternatif untuk kawasan kampung yang masih tidak mendapat bekalan elektrik daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB),” katanya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *