Ibu Adira Jadi Mangsa Samun

Adira. – Gambar Ihsan Facebook Real Adira FC

RANAU: Ibu penyanyi Adira Suhaimi mengalami kecederaan ringan pada tangan kanan ketika cuba melawan seorang perompak yang memasuki rumah mereka dan mengambil beg tangan miliknya, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi itu Rujina Sarungin, 60, keluar ke bahagian tempat letak kereta bagi mematikan suis lampu serta menghidupkan mesin basuh di luar rumah sebelum masuk semula untuk pergi ke bahagian dapur.

Kakak Adira, Edayu Suhaimi atau mesra disapa Ayu, 31, ketika dihubungi Sabah News Today berkata sewaktu ibunya ke ruang tamu, terlihat seorang lelaki bertopeng sudah berada diruangan itu sambil memegang beg tangan ibunya.

“Ibu sempat mencapai beg berkenaan dan berlaku kejadian tarik-menarik hingga mengakibatkan tangan ibu cedera mungkin disebabkan terkena besi pintu.

“Perompak itu berjaya mengambil beg itu dan lari dipercayai menggunakan motosikal.

“Kejadian berlaku terlalu cepat namun kami percaya ia tidak dilakukan berseorangan,” katanya memberitahu ibunya memang tinggal berseorangan.

Ayu yang menetap di Tuaran mengetahui perkara terbabit selepas dihubungi ibunya dan terus bergegas pulang ke kampung halaman mereka.

Beliau berkata semua adik-beradiknya sudah dimaklumkan tentang perkara berkenaan termasuklah Adira yang kini berada di Kuala Lumpur.

Tambah Ayu lagi, ibunya mengusahakan perniagan kedai bakeri secara kecil-kecilan di Kampung Pinausok, Kundasang sejak setahun lalu yang terletak lebih satu kilometer daripada rumah mereka.

Ditanya mengenai kerugian yang dialami, Edayu menyatakan nilai keseluruhan belum dapat dipastikan tetapi melibatkan wang tunai dan barang kemas milik ibunya.

Bagaimanapun, kami sekeluarga bersyukur perompak itu tidak mencederakan ibu.

“Ibu kini berada dalam keadaan baik namun sedikit trauma selepas kejadian dilaluinya.

“Kami turut merancang membawa ibu tinggal di Kota Kinabalu buat sementara waktu bagi memulihkan semangatnya selain tidak mahu perkara sama berulang kembali,” katanya.

Menurut sumber jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000.

Antara barangan yang hilang termasuklah wang tunai RM9,500, dua utas rantai tangan emas, dua uras rantai leher, empat bentuk cincin emas dan sebentuk cincin berlian.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *