APMM Tahan Kapal Tunda Balak Di Tawau

Kapal tunda membawa muatan kayu balak.

TAWAU: Seorang juragan dan dua kru sebuah kapal tunda ditahan selepas gagal melaporkan pertukaran nakhoda dalam lesen kapal berkenaan semasa pemeriksaan di perairan Kalabakan semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim V Siva Kumar berkata, dalam kejadian pukul 12.15 tengah hari itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesan dan menahan sebuah kapal tunda membawa muatan kayu balak dalam perjalanan dari perairan Kalabakan menuju ke Tawau.

V SIVA KUMAR

“Hasil pemeriksaan mendapati dua anak kapal warga Indonesia mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bagaimanapun, juragan bot mengemukakan dokumen pengenalan diri tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Siva, lelaki itu juga mengemukakan dokumen meragukan sebagai juragan selain gagal memaklumkan pertukaran nakhoda semasa diperiksa.

“Semua suspek berusia 29 hingga 43 tahun iditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya.

Tambahnya, dalam kes berlainan, Maritim Malaysia Tawau turut menahan sebuah bot nelayan pukat tunda di perairan timur laut Sungai Dumpas pada pukul 11.15 pagi, semalam.

“Bot nelayan tempatan itu didapati melanggar syarat sah pelesenan selepas dikesan beroperasi menangkap ikan kurang dua batu nautika dari daratan berhampiran.

“Sehubungan itu, pihak berkuasa menahan tiga lelaki iaitu seorang juragan dan dua anak kapal warga Indonesia berumur 27 hingga 34 tahun,” katanya.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan mendapati semua suspek mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Sehubungan itu, semua suspek dan bot mereka ditahan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *