Polis Marin Tahan 2 Warga Filipina Dan 3 Kapal Pukat Tunda

KAPAL tunda yang ditahan PPM dalam Ops Bersepadu di perairan Kota Kinabalu. – Foto ihsan PPM

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) tiga kapal pukat tunda dan dua warga Filipina sepanjang empat hari Ops Bersepadu dilaksanakan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata operasi berakhir kelmarin itu bagi menangani pencerobohan nelayan dan aktiviti pengeboman ikan di kawasan pelantar minyak di perairan di sini.

Foto ihsan PPM

Katanya, tiga kapal pukat tunda ditahan selepas nelayannya didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang enam batu nautika iaitu melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985.

“Hasil pemeriksaan terhadap salah satu kapal pukat tunda itu juga menemukan bahan pengawet ikan terlarang yang digunakan untuk mengawet ikan dalam simpanan.

“Turut ditahan dua warga Filipina berusia 20 dan 44 tahun kerana tidak memiliki dokumen sah untuk masuk ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, kesalahan dilakukan termasuk mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Racun 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.

Beliau mengakui sepanjang operasi pihaknya berhadapan dengan keadaan cuaca buruk sehingga hampir menggagalkan tugas mereka.

“Bagaimanapun, hasil kerjasama daripada pelbagai pihak yang komited termasuk Jabatan Perikanan dan pihak pelantar, ia dapat dijayakan,”katanya.

Mohamad Pajeri berkata, masyarakat setempat disarankan untuk memberi maklumat kepada pihak PPM berkaitan aktiviti pencerobohan nelayan di pelantar minyak dan nelayan yang didapati menangkap ikan tanpa mematuhi undang-undang.

Maklumat boleh disalurkan terus kepada Gerakan PPM Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di talian 088-454819.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *