Penduduk Terpaksa Jalan Kaki Hingga 8 Jam Ke Jalan Utama

Penduduk kampung berjalan kaki melalui jalan berlumpur menuju ke Kampung Gana di Kota Marudu. Foto Ihhsan Erik Elli.

KOTA KINABALU: Kira-kira 2,000 penduduk tujuh kampung di Sugut, Beluran yang bersempadan dengan Kota Marudu, masih menanti pembinaan jalan baharu menghubungkan kampung terbabit yang tertunda, sejak tujuh tahun lalu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Mangkasulap, Sugut, Erik Elli, berkata keadaan itu menyebabkan penduduk di kampung terbabit masih berdepan kesukaran perhubungan hingga terpaksa berjalan kaki sehingga lapan jam keluar ke jalan raya terdekat.

Penduduk kampung berjalan kaki melalui jalan berlumpur menuju ke Kampung Gana di Kota Marudu. Foto Ihhsan Erik Elli.

ADVERTISINGSehubungan itu, beliau merayu kepada kerajaan supaya memandang serius kesukaran dihadapi mereka dan mengambil langkah untuk mengatasinya demi kemudahan penduduk di kawasan berkenaan.

“Saya sebagai Pengerusi MPKK Kampung Mangkasulap merayu kepada kerajaan agar prihatin dan memandang serius perkara ini dengan mempercepat pembinaan jalan baharu di sini.

“Kami difahamkan bahawa projek membina jalan ke kawasan kami sudah disenaraikan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar sejak 2012, namun kami tidak melihat sebarang perkembangan sehingga sekarang.

Penduduk kampung berjalan kaki melalui jalan berlumpur menuju ke Kampung Gana di Kota Marudu. Foto Ihhsan Erik Elli.

“Jalan baharu sepanjang 18 kilometer yang dijanjikan itu dapat menghubungkan Kampung Mangkasulap, Nakadong, Tagapalang, Minsusurad, Mantub, Gouton dan Waigon menuju ke jalan terdekat di Kampung Gana, Kota Marudu,” katanya, di sini.

Erik menjelaskan, keadaan itu menyebabkan penduduk kampung terbabit terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari kampung masing-masing.

Selama bertahun-tahun, penduduk kampung terbabit terpaksa meletakkan kenderaan di kawasan terbuka di Kampung Gana, Kota Marudu sebelum berjalan kaki selama enam hingga lapan jam untuk sampai di kampung masing-masing.

“Jarak dari pekan Kota Marudu ke Kampung Gana sepanjang 36 kilometer dan dari sana, kami meletakkan kenderaan kami dan berjalan kaki menuju ke kampung masing-masing. Jarak dari Kampung Gana menuju ke Kampung Mangkasulap saja sepanjang 18 kilometer.

“Berjalan kaki mengambil masa lebih lapan jam. Bayangkan jika kami kehabisan barang keperluan. Bermakna kami perlu berjalan kaki ulang-alik ke Kampung Gana yang memakan masa selama 16 jam,” katanya.

Erik turut memaklumkan pihaknya sudah menyerahkan kertas kerja mengenai permohonan pembinaan jalan baharu itu kepada kerajaan negeri pada 3 September lalu.

Difahamkan, jalan yang dicadangkan bagi menghubungkan beberapa kampung di sekitar mukim Lingkabau itu akan diperiksa sekali lagi, sebelum pertimbangan sewajarnya diambil.

“Sekali lagi saya berharap dan merayu kepada pihak berwajib agar masalah ini dipandang serius kerana ini juga membabitkan keselamatan penduduk di sini.

“Disebabkan masalah perhubungan ini juga, ramai penduduk terpaksa berhijrah untuk mencari kehidupan lebih baik. Jika ini berterusan, bagaimana dengan nasib kami yang tinggal di sini, lebih-lebih lagi anak-anak yang berdepan kesukaran untuk ke sekolah,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *