Musim Tengkujuh Di Sabah Tidak Jejas Pengluaran Sayur Di Kundasang

Pengeluaran sayur di Kundasang tidak terjejas meskipun musim tengkujuh sudah bermula di Sabah.

Sayur tanah tinggi mencukupi

KOTA KINABALU: Musim tengkujuh dengan kekerapan hujan yang tinggi sejak akhir-akhir ini di Sabah, tidak menjejaskan pengeluaran sayur-sayuran tanah tinggi di Kundasang.

Pengerusi Persatuan Penjaja Kundasang, Mariana Taliban berkata, pengeluaran sayur di Kundasang stabil dan mencukupi bagi menampung permintaan pemborong serta pelanggan yang berkunjung ke lokasi peranginan yang terkenal dengan kesegaran sayuran tanah tinggi.

Katanya, cuaca ketika ini boleh dikategorikan baik walaupun hujan lebat berlaku beberapa hari lalu namun situasi itu tidak menjejaskan pengeluaran sayuran.

“Bekalan sayur mencukupi, tiada masalah dan masih boleh memenuhi permintaan.

“Harga sayur juga tidak mengalami kenaikan kecuali sedikit kenaikan harga untuk sayur kubis bulat iaitu kini RM1.50 sekilogram.

“Kenaikan ini bukan kerana bekalan sayur itu (kubis bulat) tidak cukup tetapi bekalannya pada tahap sederhana namun stabil. Bagaimanapun sayur lain seperti sawi, kubis bunga, brokoli dan tomato juga mencukupi.

“Secara keseluruhannya, setakat ini bekalan sayur tanah tinggi adalah mencukupi malah mampu memenuhi permintaan bukan saja untuk bekalan di Kundasang malah tempat lain seperti Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Labuan,” katanya.

Oleh itu katanya, orang ramai terutama pemborong dan peniaga tidak perlu bimbang kerana bekalan sayur tanah tinggi masih mencukupi untuk memenuhi permintaan.

Walaupun bekalan mencukupi dan stabil pada masa ini, Mariana berkata, lazimnya mulai November, bekalan sayur mulai berkurangan.

“Mungkin juga kerana hujung tahun adalah musim hujan menyebabkan banyak tanaman kurang mengeluarkan hasil. Bagaimanapun, setakat ini bekalan masih mencukupi,” katanya.

Dalam pada itu katanya, tempoh pengeluaran tanaman bagi setiap peladang berbeza dan jika semua hasil tanaman masing-masing dituai serentak, pasti berlaku pengeluaran yang banyak di pasaran.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *