“Saya Tidak Kacau Orang, Cuma Hisap Syabu Saja,”

Suspek yang bertindak agresif ditahan anggota AADK dalam Ops Cegah.-Gambar SNT/Ihsan AADK

AADK TAHAN 17 PENAGIH DADAH DI BEAUFORT

BEAUFORT: “Saya tidak kacau orang, cuma hisap syabu saja,” jerit seorang penagih dadah ketika ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Cegah di rumahnya di Kampung Baru Kimanis, di sini kelmarin.

Dalam operasi kira-kira 1 pagi itu, lelaki berusia 30 tahun turut bertindak agresif apabila hendak digari hingga menyebabkan ibunya terjaga dan terkejut kerana mendakwa anaknya sering berada di rumah.

Seramai 17 penagih dadah ditahan dalam Ops Cegah di Beaufort.-Gambar SNT/Ihsan AADK

Bagaimanapun, selepas disoal siasat berkali-kali, lelaki penganggur itu akhirnya mengaku menagih dadah disebabkan pengaruh kawan sekampung.

Ketua Pegawai AADK Beaufort Effanehwati Lakat berkata operasi yang diketuai Pegawai Erwan Roslan itu dijalankan berdasarkan maklumat awam dan risikan AADK.

Katanya operasi dijalankan dengan kekuatan 10 anggota dan pegawai di lokasi yang kenal pasti sebagai kawasan penagihan dadah.

“Hasil operasi ini, AADK Beaufort berjaya menahan seramai 17 individu berusia lingkungan 20 hingga 51 tahun yang positif pelbagai jenis dadah.

“Semua ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana disyaki penagih dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Effanehwati berkata operasi seumpama ini akan terus diadakan dari semasa ke semasa dalam usaha untuk memerangi najis dadah daripada berleluasa di daerah berkenaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran untuk tindakan segera.

“Sebarang maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi AADK Beaufort di talian 087-222667,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *