Bertempiaran Lari Sarang Dadah Diserbu AADK

Antara suspek disyaki terlibat penyalahgunaan dadah yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Tuaran. – Foto Ihsan AADK

‘Mat Lalok’ bertempiaran lari sarang dadah diserbu

TUARAN: Sekumpulan penagih dadah bertempiaran lari meninggalkan rakan masing-masing selepas sarang penagihan mereka di Kampung Tanjong, di sini diserbu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pagi tadi.

Keseluruhannya, sembilan penagih dadah berjaya ditahan dalam operasi khas, Operasi Ops Perdana selama lapan jam yang berakhir jam 7 pagi tadi membabitkan serbuan di lima lokasi berasingan di sekitar kawasan penempatan itu.

Ketua AADK Daerah Tuaran, Asraf Hafiz Ruslan, berkata bertindak atas maklumat awam dan hasil risikan, pihaknya turut melakukan serbuan di sarang penagihan dadah di Kampung Laya-laya, Nongkolud, Tambalang dan Sawah.

Katanya, kesemua suspek lelaki yang ditahan adalah warga tempatan berusia 20 tahun sehingga 55 tahun.

“Sepanjang operasi, anggota AADK terpaksa mengejar penagih yang melarikan diri ke kawasan semak berhampiran. Namun, kecekapan anggota bertugas berjaya mengawal lokasi serbuan sehingga membawa kepada penahanan penagih terbabit.

“Seramai 11 individu diarahkan menjalani ujian saringan awal air kencing dan sembilan suspek disahkan positif dadah jenis syabu,” katanya dihubungi, di sini hari ini.

Asraf berkata, tiada rampasan dadah berjaya dilakukan dan tujuh suspek ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini di Pusat Tahanan Reman AADK Papar, manakala dua lagi suspek dilepaskan dengan jaminan atas faktor usia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Sehubungan itu, Asraf berkata orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah di daerah Tuaran boleh menghubungi talian 088-788336 atau tampil ke Pejabat AADK berhampiran untuk tindakan segera.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *