Serangan Tengah Laut, 6 Sekeluarga Maut Ditembak

PETA menunjukkan laluan digunakan mangsa dari Pulau Denawan, Semporna ke Siasi, selatan Filipina sebelum ditembak sekumpulan individu bersenjata di perairan negara berkenaan pada Selasa lalu.

KOTA KINABALU: Enam sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak berumur lapan tahun dari Pulau Denawan, Semporna mati selepas dipercayai ditembak di perairan selatan Filipina.

Ketika kejadian pada Selasa lalu, mangsa terbabit dalam perjalanan menyambut Maulidur Rasul bersama keluarga di Siasi, selatan Filipina.

Kejadian itu dimaklumkan dua mangsa yang terselamat dalam kejadian itu ketika disoal siasat polis selepas laporan mengenainya dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, kelmarin.

Laporan berkenaan dibuat selepas mayat enam mangsa dibawa balik pada Khamis lalu dan selesai dikebumikan di Pulau Denawan, kelmarin.

Bagaimanapun, setakat ini polis mengkelasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut kerana kejadian dilaporkan berlaku di luar perairan Malaysia selain mangsa tidak ada pengenalan diri.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata berdasarkan keterangan dua mangsa terselamat itu, ketika kejadian mereka sekeluarga seramai lapan orang menaiki sebuah perahu dari Pulau Denawan Semporna untuk ke Siasi, selatan Filipina bagi menyambut Maulidur Rasul.

“Lapan sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak berumur antara lapan tahun hingga 50-an menaiki bot dari Pulau Denawan, Semporna ke Siasi, selatan Filipina pada 5 November lalu untuk menyambut Maulidur Rasul di sana.

“Ketika dalam perjalanan, waktu malam mereka dikatakan dihampiri bot yang dinaiki sekumpulan individu yang kemudian melepaskan tembakan ke arah mereka.

“Tembakan itu menyebabkan enam mati termasuk seorang kanak-kanak, manakala seorang lelaki dan wanita selamat,” katanya, di sini, hari ini.

Omar menjelaskan, motif tembakan dipercayai balas dendam kerana tiada barangan termasuk wang milik semua mangsa dirampas kumpulan terbabit.

Sehari kemudian, saudara mangsa di Siasi, selatan Filipina pergi mencari di perairan yang menjadi laluan mereka kerana mangsa belum sampai di sana.

“Mereka kemudiannya menemui bot dan mendapati enam orang di dalamnya mati, manakala dua masih hidup. Mayat mangsa kemudiannya dibawa semula ke Pulau Denawan untuk dikebumikan.

Difahamkan, semua mangsa tiada pengenalan diri tetapi sudah menetap di Pulau Denawan, Semporna sejak sekian lama.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *