Aliff Aziz Ditahan Polis Lagi…


Rakaman video menunjukkan Aliff bergelut dengan pegawai polis di kawasan Orchard Road.

Penyanyi dan pelakon Aliff Aziz ditahan polis di Singapura kerana didakwa menganggu ketenteraman di tempat awam dalam keadaan mabuk.

Menerusi laporan portal Berita Mediacorp, Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan penangkapan terbabit selepas penyanyi itu didapati bergaduh dengan seorang lelaki kira-kira jam 6.40 pagi tadi di kawasan Orchard Road.

“Walaupun diarahkan supaya bertenang dan meleraikan pergaduhan itu, Aliff yang nafasnya berbau arak, enggan memberikan kerjasama dan terus mencetuskan kekecohan.

“Dia kemudian ditangkap di bawah Seksyen 14(2)(b) Akta Kawalan Arak.

“Menurut polis lagi, Aliff juga bergelut dengan pegawai bertugas ketika mereka cuba menggari tangannya. Bagaimanapun siasatan polis masih dijalankan,” lapor portal terbabit.

Petang tadi, dua video yang menunjukkan Aliff bergelut dengan pegawai polis di kawasan Orchard Road tular di media sosial.

Menerusi video terbabit, Aliff dikatakan cuba menghubungi bapanya bagi mendapatkan bantuan.

Bekas suami penyanyi Bella Astillah itu menjerit-jerit memberitahu bapanya menerusi telefon bahawa ada orang sedang memukulnya.

Kemudian, dua kereta polis tiba di lokasi kejadian dan tiga lagi pegawai polis bergegas membantu dua pegawai di tempat kejadian yang masih cuba menggari Aliff.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi ibu Aliff, Siti Hafiza Sheikh Mohamad serta Bella tidak berjaya apabila kedua-duanya tidak membalas dan menjawab telefon.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *