Yoe Boon Hai & Mary Tokoh Maulidur Rasul Sabah 2019

Juhar merakam kenangan bersama Boon Hai dan Mary yang masing-masing dianugerahkan Tokoh Maulidur Rasul 2019 Peringkat Negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Bekas Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai @ Mohd. Arling Abdullah dianugerahkan Tokoh Maulidur Rasul Sabah 2019 Kategori Lelaki atas sumbangan beliau dalam membangunkan bandar raya ini.

Lebih dikenali dengan panggilan Boon Hai, sepanjang menerajui Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) beliau juga merupakan Pengerusi Badan Dakwah Bandaraya Kota Kinabalu dan meneruskan kerja-kerja dakwah walaupun telah melepaskan jawatan berkenaan.

Sementara itu, bekas Peguam Besar Sabah, Datuk Mary @ Mariati Robert turut dipilih sebagai penerima anugerah berkenaan bagi kategori wanita atas jasa beliau kepada negeri ini dan dalam membangunkan agama Islam.

Dalam usianya mencecah 66 tahun, Mary menghabiskan banyak masanya setiap hari dengan aktiviti keagamaan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu serta turut aktif dengan aktiviti kebajikan.

Kedua-dua tokoh berkenaan menerima anugerah masing-masing yang disampaikan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sempena Sambutan Maulidur Rasul 2019 Peringkat Negeri Sabah hari ini.

Terdahulu pagi ini, Juhar bersama  74 kontinjen disertai lebih 8,000 peserta berarak dari Sutera Avenua hingga ke pekarangan Masjid Negeri sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Turut menyertai perarakan berkenaan ialah isteri beliau, Toh Puan Norlidah R.M Jasni. Hadir sama, Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Mokhtar serta Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri, Datuk Dr Yusuf Yacob.

Aidi ketika berucap di sambutan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Menteri, dalam ucapannya sempena sambutan tahun ini mengingatkan setiap umat Islam agar memperkukuh ikatan ukhuwah dan memperteguhkan kesucian agama Islam.

Selain itu, beliau berharap masyarakat sentiasa merapatkan saf, saling bertoleransi dan menghormati antara satu sama lain demi memupuk semangat muhibah dalam kehidupan seharian.

“Sudah tentu, ia juga adalah manifestasi semangat kesatuan dan perpaduan ummah, yang terus menyala meskipun diwarnai dengan kepelbagaian kaum, etnik dan budaya masyarakat di negeri ini.

“Adalah diharapkan agar nilai kesatuan dan perpaduan serupa ini dapat terus dihayati dan diaplikasikan dalam menjayakan agenda pembangunan yang direncana oleh kerajaan demi kebaikan bersama,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Aidi.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *