(VIDEO) Murid Salam Pengawal Keselamatan Di SK Luagan, Keningau Dapat Pujian Netizen & Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR: Jarang sekali kita melihat pelajar memberi salam sambil mencium tangan pengawal keselamatan di pintu sekolah sebelum memulakan sesi persekolahan harian.

Namun, nilai murni itu dapat dilihat dipraktikkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Luagan, Keningau, Sabah.

Rakaman video yang ditularkan oleh seorang pemandu lori Azwan Mahmin, 39, di laman media sosial mendapat sambutan positif warganet, termasuk Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Maszlee dalam akaun Twitter rasminya yang memuji murid SK Luagan itu berkata, budaya menghormati perlu diterapkan kepada kanak-kanak.

“Sekolah sememangnya harus berfungsi sebagai satu platform pendidikan yang memupuk budaya hormat-menghormati,” katanya.

Video berdurasi 41 saat itu tular dengan 360,000 tontonan dan 11,500 perkongsian, malah rata-rata warganet memuji tindakan pelajar serta budaya sekolah itu.

Sementara itu, Azwan memberitahu BERNAMA, beliau terdetik merakam video itu kerana tersentuh dengan akhlak yang ditunjukkan oleh murid sekolah itu kepada pengawal keselamatan yang bertugas.

“Dalam perjalanan ke rumah adik sepupu saya yang berhadapan sekolah itu untuk sarapan, saya melihat murid memberi salam kepada pengawal keselamatan itu.

“Gelagat mereka membuat saya tersentuh. Tidak ada niat untuk tularkan benda (video) itu cuma ingin berkongsi dengan rakan-rakan di Facebook sebab ia jarang-jarang berlaku namun tidak menyangka video itu tular,” katanya.

Azwan berkata, adik sepupunya memaklumkan budaya bersalaman dengan pengawal keselamatan adalah rutin harian murid di sekolah itu tanpa mengira umur.

https://www.facebook.com/sabahpost/videos/1020146724994544/

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *