Denda RM20,000 Jika Tangkap, Jual Spesies Ikan Dilindungi

Lawrence memberi penerangan kepada penjual ikan mengenai spesies ikan dilindungi di Pasar Umum Sandakan. Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Enam spesis baharu ikan yu dan dan pari disenaraikan antara dilindungi bermula tahun ini.

Spesies itu adalah yu sirip putih besar atau nama saintifiknya Carcharhinus longimanus, yu tukul (Sphyrna zygaena), yu tukul parang (Sphyrna mokarran), yu tukul palang (Eusphyra blochii) dan dua spesies pari iaitu pari tanduk (Mobula birostris) dan Mobula alfredi.

Penambahan itu menjadikan 36 spesies hidupan marin terancam dikawal mengikut akta Peraturan-peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Terancam) 1999 Akta Perikanan 1985 supaya tidak mengalami kepupusan.

Kesalahan memancing, mengganggu, mengusik, menangkap, membunuh, mengambil, memiliki, menjual, membeli, mengeksport atau mengangkut spesies ikan dilindungi boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Penolong Pengarah Pengurusan Sumber Marin, Ibu Pejabat Jabatan Perikanan Sabah, Lawrence Kissol menyatakan sebelum jabatan itu melaksanakan penguatkuasaan adalah penting masyarakat terutama nelayan, penjual dan pengguna mengetahui spesies dilindungi.

“Antara usaha dilaksanakan adalah bertemu masyarakat menerusi program sosialisasi di 17 daerah untuk memberi pemahaman berkenaan penyenaraian dengan harapan spesies ini tidak diganggu untuk dapatkan keuntungan.

“Menerusi program ini, kita tampal poster bersesuaian untuk dipaparkan di tempat strategik seperti pasar ikan,” katanya kepada pemberita ketika Program Sosialisasi di Pasar Umum Sandakan, hari ini.

Hadir sama Penguasa Perikanan Daerah Sandakan, Norainon Madra.

Lawrence turut mendedahkan beberapa spesies ikan dilindungi termasuk yu paus turut dijual di pasar di negeri ini dan apabila pemeriksaan dilaksanakan, penjual mendakwa ikan tersangkut pada pukat atau tidak tahu spesies terbabit dilindungi biarpun Jabatan Perikanan sentiada memaklumkan kepada masyarakat setiap kali ada spesies baharu disenaraikan dalam akta.

Justeru, beliau menegaskan, pihaknya akan ke setiap daerah di seluruh negeri untuk memberi penerangan kepada masyarakat selain menasihatkan nelayan membuang semula spesies ikan dilindungi ke laut jika tertangkap atau ikan yang masih kecil untuk memastikan hasil ikan berterusan.

“Di Sabah, ada 26 daerah dan sekurang-kurangnya 50 pasar dan tamu menjual ikan sama ada hasil daripada laut atau air tawar.

“Kita ada beberapa kes sebelum ini iaitu rampasan ikan daripada spesies dilindungi dan ambil tindakan tamatkan permit menjual ikan jika didapati mereka menjual spesies dilindungi,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *