Suami Maut, Isteri Parah Kemalangan

Penunggang motosikal maut manakala isterinya parah selepas terbabit kemalangan di Jalan Politeknik, berhampiran stesen minyak KKIP, Kota Kinabalu.-Gambar SNT/Ihsan IPD KK

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala isterinya parah selepas terlanggar sebuah kereta Perodua Alza di Jalan Politeknik, berhampiran stesen minyak KKIP, di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, penunggang motosikal Abas Mardasir, 27, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Sabah, Kota Kinabalu.

Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas terbabit kemalangan di Jalan Politeknik, berhampiran stesen minyak KKIP, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Pembonceng motosikal yang juga isteri kepada mangsa, Rafida Abdullah, 24, patah tangan dan cedera dikepala menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Alza dipandu seorang lelaki bersama isterinya dari arah stesen minyak KKIP menuju ke Politeknik Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha ditunggang mangsa bersama isterinya yang berada di jalan lurus dipercayai terlanggar bahagian kanan Perodua Alza yang hendak keluar simpang.

“Akibat kemalangan itu, penunggang parah dan dikejarkan ke HWKK untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia jam 3.10 petang tadi. Isteri mangsa turut parah patah tangan dan kepala dirawat di HQE I,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, pemandu dan penumpang Perodua Alza berusia 62 dan 55 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut kes berkenaan masih dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *