Sebuah Premis Diserbu Jual Barang Tiruan Pada Harga Sama Jenama Terkenal

SANDAKAN, 7 Nov Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDPNHEP) Cawangan Sandakan menyerbu sebuah premis perniagaan di sini semalam kerana menjual barangan jenama terkenal disyaki tiruan pada harga hampir sama dengan harga pasaran produk sebenar jenama itu.

Ketua Cawangan KPDNHEP Sandakan Mohamad Hashim berkata pihaknya menerima aduan daripada Syarikat Randall Gateskill Risk Consultancy, yang merupakan pemilik cap dagang jenama Adidas, mengenai premis perniagaan itu.

“Satu operasi bersama wakil syarikat pemegang cap dagang itu telah dijalankan pukul 10.05 pagi semalam dan merampas sejumlah 194 barangan dengan jenama Adidas disyaki tiruan bernilai RM6,328.40.

“Seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun, dipercayai pemilik premis telah disoal siasat mengenai barangan itu,” katanya pada sidang akhbar mengenai kes itu.

Mohamad berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 8 (2) (C) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM15,000 bagi pertubuhan perbadanan, dan denda tidak melebihi RM30,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya, jika sabit kesalahan.

Bagi individu pula, akta itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM10,000 dan denda tidak melebihi RM20,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya, jika sabit kesalahan.

Mohamad turut memberitahu KPDNHEP Cawangan Sandakan telah menjalankan pemeriksaan ke atas 8,039 premis dari Januari hingga semalam dan 165 kes pelbagai kesalahan dikesan melibatkan RM235,170.17 nilai rampasan dengan kompaun yang dikenakan berjumlah RM125,100.

Kes yang disiasat ialah 67 kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961 (29 kes), Akta Perihal Dagangan 2011 (11 kes), Akta Timbang dan Sukat 1972 (52 kes), Akta Hak Cipta 1987 (satu kes), dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 (lima kes).

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *