Panjat Bumbung & Terjun Ke Laut Elak Ditahan AADK

Sepuluh individu termasuk empat wanita ditahan dalam Ops Perdana di Kudat. – Gambar SNT/Ihsan AADK Kudat

KUDAT: Seramai sepuluh penagih dadah termasuk empat wanita ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Perdana di dua lokasi di daerah ini, semalam.

Operasi selama empat jam yang berakhir kira-kira pukul 5 pagi itu dijalankan di Kampung Tanjung Kapor dan Kampung Pengaraban.

Anggota AADK menahan seorang individu kerana disyaki penagih dadah dalam Ops Perdana di Kudat. – Gambar SNT/Ihsan AADK Kudat

Ketua Pegawai AADK Kudat, Fazilawati Aji berkata anggotanya memeriksa seramai 12 individu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Operasi diketuai Erwan Roslan bersama 12 anggota AADK Kudat dan Negeri melakukan serbuan di kawasan ‘port’ penagih di dua kampung berkenaan.

“Beberapa individu cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung rumah dan terjun ke laut melalui tingkat rumah namun gagal apabila berjaya ditahan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Fazilawati berkata, saringan awal air kencing didapati seramai sepuluh individu termasuk empat wanita didapati positif methamphetamine.

Katanya, semua suspek berusia 17 hingha 50 tahun dibawa ke pejabat AADK Kudat dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan ) 1983.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Kudat di talian 088-611767 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *