Lelaki Maut Tercampak Keluar Kereta Terbalik

Keadaan kereta dipandu mangsa yang terbalik dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Beaufort – Sipitang, malam tadi.

BEAUFORT: Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar dari kereta dipandunya yang hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik beberapa kali di Kilometer 25, Jalan Beaufort – Sipitang, di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Nahrizan Mahsah, 38, kakitangan kerajaan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Keadaan kereta dipandu mangsa yang terbalik dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Beaufort – Sipitang, malam tadi. Gambar SNT/Ihsan IPD Beaufort

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata siasatan awal mendapati mangsa memandu kereta jenis Perodua Myvi seorang diri dalam perjalanan dari arah Beaufort menuju pulang ke rumahnya di Sipitang.

“Setiba di lokasi kejadian yang berselekoh, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik beberapa kali.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kenderaan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Azmir berkata mangsa yang dipercayai mengalami kecederaan parah dibahagian dalaman badan meninggal dunia di lokasi kejadian disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Beaufort.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati permukaan jalan basah kerana hujan manakala kawasan sekitar gelap tanpa lampu jalan serta jalan berselekoh.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Beaufort untuk tindakan lanjut dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *