Dipukul Ibu Guna Besi Sebab Masih Bujang

Lin cedera selepas dibelasah oleh ibunya dengan sebatang besi. Foto Agensi


BEIJING: Seorang wanita ditahan kerana dikatakan memukul anak perempuannya berusia 30 tahun menggunakan batang besi sehingga lebam dan berdarah hanya kerana masih bujang.

South China Morning Post melaporkan, seorang wanita bernama Lin, 30, memanggil polis ke restoran dijalankan bersama ibunya, Wang di Changzhou, wilayah Jiangsu.

Polis yang tiba di situ melihat kesan lebam teruk dan luka pada badan Lin kerana dipukul ibunya, namun Wang enggan pergi ke balai polis untuk membantu siasatan sebaliknya berkata: “Saya pukul anak saya, bukan orang lain.”

Lin mendakwa sering dipukul kerana masih bujang, selain dimarahi kerana tiada wang sedangkan dia berhenti kerja di bandar untuk membantu ibunya di restoran berkenaan.

Menurut polis, Lin pernah membuat laporan polis dua kali pada Ogos lalu tetapi kecederaan dialami tidak serius menyebabkan Wang terlepas, kata laporan yang memetik Yangtse Evening News itu.

Seorang anggota polis yang mengenali keluarga itu secara peribadi berkata, Wang pernah memukul Lin sebelum ini dan tidak menganggap perbuatannya satu kesalahan.

Dua beranak itu dilaporkan sering bertengkar dan Wang memberitahu Jiangsu Television, konflik terbaru berlaku selepas Lin melawan cakapnya apabila dimarah kerana tidak mengemas rumah.-Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *