2 Parah, 3 Cedera Ringan Kereta Langgar Dinding Rumah Di Ranau

Keadaan Proton Iswara yang melanggar dinding rumah di Kampung Ulu, Jalan Lohan, Ranau. Gambar SNT/Ihsan Bomba

RANAU: Dua parah manakala tiga cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu merempuh dinding rumah dalam kejadian di Kampung Ulu, Jalan Lohan, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, semua mangsa iaitu tiga lelaki dewasa dan dua wanita dewasa menaiki kereta jenis Proton Iswara dikatakan terbabas sebelum melanggar dinding di tingkat bawah rumah penduduk kampung.

Dinding rumah penduduk kampung rosak akibat dirempuh kereta Proton Iswara dalam kemalangan di Kampung Ulu, Jalan Lohan, Ranau. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Penghuni rumah berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 3.48 pagi.

Katanya, sebaik tiba mendapati kemalangan membabitkan kereta Proton Iswara dipercayai terbabas sendiri melanggar dinding rumah tingkat bawah.

Keadaan rumah penduduk kampung yang rosak selepas dirempuh kereta Proton Iswara di Kampung Ulu, Jalan Lohan, Ranau. Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Terdapat lima mangsa tersepit. Pemandu lelaki dan penumpang hadapan parah manakala tiga mangsa dibahagian penumpang belakang cedera ringan.

“Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) sebelum diserahkan kepada ambulans untuk dihantar ke Hospital Ranau,” katanya.

Menurutnya, selepas memastikan tiada lagi bahaya yang berlaku, operasi menyelamat ditamatkan jam 4.52 pagi. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *