Samun Kedai Runcit, Dua Lelaki Bersenjata Diburu Polis

LAHAD DATU: Polis memburu dua lelaki yang disyaki terbabit dalam satu kes samun bersenjata di sebuah kedai runcit di Bandar Wilayah, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian pukul 1.51 pagi itu, salah seorang suspek bertindak mengacukan senjata tajam dipercayai pisau di leher seorang mangsa, lelaki, 33, yang sedang duduk di kaunter kedai bersama tiga yang lain termasuk seorang kanak-kanak.

NASRI MANSOR

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Menurut beliau, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kedua-dua suspek meluru secara tiba-tiba ke dalam kedai berkenaan.

Katanya, seorang daripada suspek kemudiannya bertindak mengacukan pisau di leher mangsa dan mengugutnya agar tidak melawan.

Beliau berkata, rakan suspek dilihat menyerang tiga mangsa yang lain dan merampas telefon bimbit serta wang tunai di dalam laci kaunter.

“Tiada kecederaan dilaporkan, namun mangsa mengalami kerugian selepas satu telefon bimbit jenis Huawei dan wang tunai RM500 dilarikan penjenayah.

“Polis masih memburu kedua-dua suspek yang dianggarkan mempunyai ketinggian antara 160 sentimeter hingga 165 sentimeter.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan, diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *