Niat Saya Bantu Rakyat, PBS Cuma Tabur Fitnah

KENYATAAN: Nampaknya sekali lagi pemimpin PBS cuba memesongkan kenyataan saya berhubung cadangan mewartakan 18 kampung di Parlimen Sepanggar apabila Ahli Majlis Tertinggi PBS, William Majimbun menuduh saya menghina penduduk asal di kampung-kampung berkenaan yang telah menetap sejak sekian lama.

Saya kira Majimbun perlu membaca berulang kali sehingga khatam kenyataan media yang secara jelas menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin PBS sendiri iaitu, Johnny Mositun yang mendakwa penduduk di 18 kampung yang ingin diwartakan itu majoritinya pendatang tanpa izin (PTI).

Dalam kenyataan saya sebelum ini sebagai menjawab tuduhan Mositun dengan bertanya: “Apakah kenyataan beliau itu bermaksud kampung-kampung yang belum diwartakan itu didiami oleh pendatang tanpa izin (PTI)?”.

Apabila Mositun mendakwa bahawa penduduk di kampung-kampung yang belum diwartakan itu sebahagian besar kononnya PTI, maka saya bertanya kepada beliau adakah kenyataan beliau itu merujuk juga kepada 18 kampung yang majoritinya Kadazan, Dusun, Murut (KDM) yang mana saya di maklumkan masih belum diwarta.

Selaku Ahli Parlimen sepanggar, kenyataan saya untuk mendesak kerajaan mewartakan kampung-kampung yang belum diwarta di seluruh Parlimen Sepanggar adalah merujuk kepada semua kampung yang telah dikenal pasti oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebagai kampung yang boleh diwartakan.

Ini kerana DBKK pastinya telah mengenal pasti bahawa mereka tinggal di kampung-kampung tersebut majoritinya adalah warganegara Malaysia yang juga rakyat Sabah.

Kenyataan umum saya cukup jelas mengenai kampung-kampung yang wajar diwarta dan semestinya tidak termasuk kawasan yang telah di kenal pasti oleh DBKK sebagai kawasan setinggan yang dihuni oleh PTI.

Malah, saya sendiri telah mengarahkan DBKK untuk merobohkan setinggan yang didiami PTI, bukan itu saja, PDRM dan Jabatan Imigresen juga telah beberapa kali melakukan operasi di sekitar Parlimen Sepanggar untuk membanteras PTI.

Jadi, meneliti kenyataan pemimpin PBS dalam isu ini, maka memang benarlah kata bekas pemimpin parti itu yang menyertai Warisan bahawa PBS adalah parti yang suka berbohong dan memutarbelit.

Nasihat saya kepada pemimpin PBS cukup-cukuplah berbohong, terimalah hakikat bahawa PBS adalah parti yang gagal, bukan saja gagal mentadbir negeri Sabah ketika berkuasa, malah gagal sebagai parti untuk memperjuangkan nasib masyarakat KDM apabila tanah-tanah yang sepatutnya diwarta tidak mereka lakukan dan perjuangkan.

Hari ini PBS cuba menjadi hero dengan berbohong dan memutar belit fakta pada ketika Warisan sedang berusaha untuk memberikan pewartaan kepada kampung-kampung milik rakyat Sabah termasuklah masyarakat KDM bukan saja di Sepanggar malah di seluruh Sabah.

Ini terbukti bila mana YAB Ketua Menteri telah meluluskan dan memberikan geran-geran tanah milik masyarakat KDM di Keningau, Tenom, Pensiangan dan lain-lain daerah di Sabah, ia menunjukkan betapa YAB Ketua Menteri ikhlas dalam memastikan rakyat Sabah warganegara Malaysia untuk memiliki tanah yang telah dinafikan hak mereka ketika BN berkuasa di negeri ini.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *