Kereta Jatuh Gaung, Empat Beranak Nyaris Maut

Kenderaan Toyota Land Cruiser dinaiki empat beranak terjatuh ke gaung sedalam 30 meter di Kampung Guramboi, Jalan Penampang – Tambunan. – Foto Ihsan Bomba

Empat Beranak Parah Kenderaan Jatuh Gaung

PENAMPANG: Empat beranak parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh ke gaung sedalam kira-kira 30 meter di Kampung Guramboi, Jalan Penampang – Tambunan, dekat sini pagi tadi.

Pemandu lelaki kenderaan Toyota Land Cruiser berusia 56 tahun dan isterinya, 51, serta dua anak perempuannya masing-masing berusia 9 dan 15 tahun yang parah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk rawatan lanjut.

Pasukan bomba melakukan pemeriksaan untuk mengeluarkan mangsa yang berada di dalam kenderaan Toyota Land Cruiser. – Foto Ihsan Bomba

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, empat beranak terbabit dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Tambunan.

Sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan Toyota Land Cruiser dipercayai memotong sebuah kenderaan dihadapan lalu berlangggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza.

Foto Ihsan Bomba

Berikutan itu, Toyota Land Cruiser terbabas lalu terjatuh ke gaung sedalam kira-kira 30 meter.

Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penguasa Bomba Kanan II Callxtus Fedilis berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada 10.17 pagi itu bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan lapan anggota bomba.

“Sebaik tiba pasukan bomba kemudian mengeluarkan semua mangsa yang berada di dalam kenderaan menggunakan ‘sistem takal’ untuk membawa naik keempat-empat mangsa.

“Semua mangsa tidak tersepit namun masing-masing parah dan dikeluarkan sebelum dibawa ke HQE 1 untuk rawatan lanjut menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan dan kecemasan (EMRS) serta ambulans perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba seterusnya menbuat pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada lagi bahaya lain.

Katanya pihak bomba yang dibantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menamatkan operasi pada pukul 12.35 tengah hari. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *