PPM Tawau Selamatkan Empat Nelayan Indonesia Hanyut Di Perairan Negara

Nelayan Indonesia dijangka akan diserahkan kepada pihak berkuasa Indonesia, esok, selepas dikatakan hanyut di perairan Tawau.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menyelamatkan empat nelayan warga Indonesia selepas bot mereka dijumpai hanyut di perairan Tanjung Saima, di sini pagi tadi.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam kejadian pukul 10 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota PPM dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat awam berhubung bot hanyut tersebut.

“Sebaik tiba di lokasi, pihak kami berjaya menemukan dua bot nelayan berkenaan yang dinaiki empat lelaki warga Indonesia berumur dalam lingkungan 35 hingga 70.

“Siasatan awal mendapati semua mereka menetap di Kampung Sungai Nyamuk, Sebatik, Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, mangsa mendakwa sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Indonesia sebelum bot mereka dipukul ombak kuat.

“Kejadian itu menyebabkan bot mereka hanyut sehingga memasuki perairan negara.

“Difahamkan ketiadaan peralatan lengkap termasuk kompas menyebabkan nelayan berkenaan gagal pulang ke Indonesia,” katanya.

Sehubungan itu, PPM membawa mangsa bersama bot ke jeti untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Indonesia di sempadan perairan Sungai Nyamuk, esok.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *