Virus Demam Babi Afrika Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Sabah akan melaksanakan larangan sementara pengimportan babi dan semua produk haiwan itu berikutan pengesanan virus Demam Babi Afrika (ASF) melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dalam satu sampel babi dalam tin diimport di Sarawak.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Junz Wong, berkata kementerian bimbang dengan penemuan terbaru itu, sekali gus mengambil langkah pencegahan yang perlu.

“Kementerian menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah akan mengadakan pertemuan dengan semua jabatan berkaitan, termasuk Jabatan Kesihatan, esok.

“Selepas mesyuarat itu, kita akan melancarkan usaha bersepadu bersama pihak berkuasa yang berkaitan untuk memberi tumpuan dan memeriksa kedai yang menjual produk itu bagi memastikan Sabah bebas dan selamat daripada virus itu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Pada 27 Oktober, kerajaan Sarawak melarang pengimportan babi dan semua produk haiwan itu dari negara dijangkiti virus ASF, termasuk China.

Ini selepas Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) mengesan virus ASF melalui ujian DNA dalam satu daripada 17 sampel ‘luncheon’ babi dalam tin diimport dari China, pada 25 Oktober lalu.

JPVS Sarawak dalam kenyataannya baru-baru ini, berkata jabatan dan agensi berkaitan akan menjalankan pemeriksaan di semua pasar raya.

Produk yang terjejas akan dikeluarkan daripada rak, sementara produk dalam penghantaran akan menjalani mekanisme ‘tahan uji’ untuk memastikan ia bebas daripada pencemaran virus ASF.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *