PKR Tiada Masalah Terima Salleh, Status Keahlian Masih Dalam Proses

PENAMPANG, 28 Okt: PKR tidak ada masalah untuk menerima permohonan keahlian bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk menyertai parti itu, kata Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata mengikut prosedur, Salleh secara automatik telah menjadi ahli PKR, bagaimanapun, pimpinan parti pusat memutuskan untuk diberikan sedikit masa, bagi membincangkan lebih lanjut berhubung permohonan berkenaan.

Anwar menjelaskan bahawa ia tidak bermaksud PKR menolak permohonan Salleh, namun, pimpinan parti mahu mengambil kira pandangan daripada negeri dan cabang termasuk sentimen ahli PKR di peringkat akar umbi terlebih dahulu, memandangkan Salleh adalah seorang pemimpin terkenal dengan kesetiaannya kepada Barisan Nasional dan UMNO.

“Kita perlu memahami tentang proses keahlian. Sesiapa sahaja rakyat yang memohon (menjadi ahli) secara automatik akan menjadi ahli. Tetapi, jika nama (yang didaftar seorang yang) dikenali, kita merujuk kepada negeri dan cabang untuk memberikan kita pandangan. 

“PKR tidak ada masalah untuk menerimanya, tetapi kami perlu mengambil kira sentimen ahli di peringkat akar umbi, dan prosesnya masih berjalan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen PKR Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi PKR Sabah Christina Liew.

Anwar berkata Salleh turut dimaklumkan mengenai proses itu yang sedang berjalan dan proses tersebut perlu dihormati, selain PKR juga tidak tergesa-gesa dalam hal berkenaan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, mana-mana individu yang ingin menjadi ahli PKR juga harus menerima dasar parti dan bersedia untuk bekerja bersama parti.

Menurutnya, Salleh turut menunjukkan komitmen itu terhadap perjuangan PKR pada ketika ini, meskipun sebelum ini beliau penyokong kuat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya pun komited dalam UMNO satu masa dulu,” katanya.

Terdahulu, Anwar ketika berucap berkata, setiap cabang diminta untuk tidak membatalkan keahlian mana-mana ahli tanpa ada sebab yang kukuh.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *