Dadah: 41 Warga Asing Antara 56 Suspek Ditahan Di Sekitar Kota Kinabalu

Sebahagian suspek yang ditahan untuk menjalani ujian urin.

KOTA KINABALU: Tindakan tegas Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu membanteras penyalahgunaan dadah diteruskan melalui Op Sarang yang dilancarkan di kawasan-kawasan tumpuan atau hotspot.

Bermula 19 Oktober hingga semalam, sebanyak 19 serbuan dilakukan yang membawa kepada penahanan 56 suspek yang terlibat menyalahgunakan bahan terlarang itu.

Anggota polis berpakaian preman memasuki kawasan perkampungan yang disyaki wujud aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebanyak 259.57 gram syabu bernilai RM12,978.50 berjaya dirampas daripada beberapa suspek.

“Dua individu ditangkap berkaitan bekalan dan pengedaran dadah, 22 suspek kerana memiliki dadah manakala 32 lagi atas kealahan gagal ujian urin.

“Sebanyak 41 yang ditangkap adalah warga asing manakala 15 lagi penduduk tempatan dan semua suspek berusia antara 15 hingga 47 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Habibi berkata, kejayaan terbesar adalah penahanan seorang pengedar yang juga warga asing ketika membawa syabu seberat 251 gram di Telipok, Menggatal.

Pegawai penyiasat menunjukkan syabu yang dirampas daripada suspek.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori.

“Usaha untuk membanteras pengedaran dan penagihan dadah di daerah Kota Kinabalu akan diperhebat dari masa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti jenayah itu diminta menghubungi hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088529220 atau laman Facebook kami,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *