Bot Karam, 7 Dikhuatiri Lemas, 1 Maut & 1 Selamat

Mayat wanita yang ditemui terapung di laut Tanduo, Lahad Datu dalam kejadian bot karam. Gambar SNT/ Ihsan PPM

LAHAD DATU: Tujuh individu termasuk dua kanak-kanak dikhuatiri lemas manakala seorang maut dan seorang lagi selamat dalam kejadian bot karam di perairan Merabung, di sini semalam.

Mangsa selamat dikenali sebagai Long Sahlihi, 29, berasal dari Sibutu, Filipina, manakala mayat wanita yang ditemui terapung di laut Tanduo belum dikenal pasti identitinya.

Juragan bot yang ditemui selamat dalam kejadian bot karam di perairan Merabung, Lahad Datu. Gambar SNT/Ihsan PPM

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata kejadian itu disedari jam 3.05 petang selepas sebuah bot nelayan menghubungi bilik gerakan PPM Lahad Datu untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, ketika laporan diterima, pemanggil memaklumkan mereka baru saja menyelamatkan seorang lelaki yang dipercayai juragan bot yang karam.

“Pemanggil turut memaklumkan, juragan memberitahu lapan individu membabitkan dua kanak-kanak dan enam dewasa masih hilang di perairan berkenaan.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota PPM dikerah ke lokasi kejadian dan menemui mangsa lelaki dalam keadaan lemah dengan kecederaan melecur dibadan.

“Mangsa kemudiannya dihantar mendapatkan rawatan di klinik kesihatan Tungku manakala usaha mengesan mangsa lain yang masih hilang diteruskan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, pada jam 9 pagi tadi, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan menemui mayat wanita terapung di laut Tanduo kira-kira tiga batu nautika dari pantai.

“Berdasarkan maklumat itu, sepasukan anggota dikerah ke lokasi penemuan dan berjaya membawa naik mayat berkenaan sebelum dihantar ke Jeti Sahabat 16 untuk tindakan selanjutnya.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

“Usaha mengesan tujuh lagi mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *