Tapuk Syabu Dalam Songkok

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah menunjukkan songkok yang digunakan suspek bagi menyorokkan lima paket dadah jenis syabu pada sidang media di IPK Sabah, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Seorang buruh warga asing ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu yang disembunyikan dalam songkok miliknya di kawasan parkir sebuah kondominium di Manggatal, di sini, semalam.

Suspek berusia 33 tahun ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, jam 4.50 petang.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata ketika tangkapan dibuat, suspek dengan sendirinya menyerahkan songkok hitam kepada polis.

“Hasil pemeriksaan ke atas songkok berkenaan menemui satu plastik berisi lima peket lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas 251 gram dianggarkan bernilai RM18,500,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Omar berkata, hasil pemeriksaan mendapati suspek tinggal di kawasan Manggatal dan bekerja sebagai buruh.

“Siasatan juga mendapati suspek memperoleh bekalan dadah itu daripada seorang wanita warga asing di kawasan Manggatal dan diseludup masuk ke bandar raya ini. Usaha sedang dijalankan untuk mengesan pembekalan dadah berkenaan.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes siasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *