Seludup 5 KG Syabu Guna Kurier Tumpas

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah pada sidang media kejayaan pihak polis IPD Penampang di IPK Sabah, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Polis Sabah menahan seorang penghantar makanan dan merampas dadah jenis syabu seberat 5,066.83 gram bernilai RM250,000 yang disembunyikan di dalam tin coklat jenama Vochelle.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari semalam, lelaki berusia 21 tahun terbabit ditahan berhampiran sebuah pejabat syarikat kurier di Penampang selepas dipercayai mengambil dadah yang dikirim oleh dirinya sendiri dari Semenanjung Malaysia.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah pada sidang media kejayaan pihak polis IPD Penampang di IPK Sabah, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Suspek terbabit ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit membawa lima bungkusan plastik kurier berkenaan yang masing-masing mengandungi dua tin coklat jenama Vochelle.

Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam tin coklat berkenaan membawa kepada penemuan satu bungkusan plastik berisi ketulan hablur lut sinar yang disyaki dadah jenis syabu.

“Hasil siasatan awal, polis mendapati suspek mendapat bekalan dadah berkenaan daripada seorang lelaki tempatan di Semenanjung Malaysia dan cuba diseludup masuk menggunakan perkhidmatan kurier.

“Semua dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan di daerah Penampang dan daerah berhampiran,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Omar berkata, semua rampasan dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM250,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Rampasan dadah ini adalah yang terbesar di daerah Penampang dan tahniah kepada Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim atas kejayaan ini.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 30 Oktober depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *