Polis Tahan 5 Suspek Termasuk 3 PTI Rampas Nissan Fairlady, Wang Tunai RM65,000, Barang Kemas & Syabu

DADAH DIRAMPAS DI LAHAD DATU, 5 SUSPEK TERMASUK 3 PATI DITAHAN

LAHAD DATU: Polis berjaya merampas 100.76 gram dadah jenis syabu dan wang tunai berjumlah RM65,000 dipercayai hasil daripada sindiket penjualan dadah, dalam Ops Tapis di Bandar Sri Perdana, di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, dalam operasi pada pukul 4.20 petang, 17 Oktober lalu, sepasukan pegawai dan anggota polis menyerbu sebuah rumah dua tingkat, di Bandar Sri Perdana selepas mendapat maklumat berhubung kegiatan jenayah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dijalankan, polis menemukan satu beg bimbit berwarna ungu dan coklat di dalam sebuah bilik di tingkat atas premis berkenaan yang mengandungi satu plastik hitam berisi hablur putih dipercayai syabu.

“Selain itu, polis turut menjumpai dua plastik hitam mengandungi duit pelbagai not dianggarkan berjumlah RM50,000 di bilik yang sama,” katanya kepada media, di sini hari ini.

Nasri berkata, sehubungan itu, pihaknya menahan dua lelaki dan tiga wanita terdiri termasuk tiga daripadanya pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina, berusia 27 hingga 37 tahun yang berada di dalam rumah ketika serbuan dilakukan.

“Bagaimanapun, ujian air kencing ke atas semua suspek didapati negatif penggunaan dadah,” katanya.

Tambah beliau, polis turut merampas dua buah kenderaan termasuk Nissan Fairlady, empat utas jam tangan berjenama, empat beg tangan berjenama dan 19 barangan kemas dianggarkan bernilai RM217,300.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/63 bagi PATI.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Filipina ditahan polis selepas didapati memiliki 5.37 gram dadah jenis syabu di Kampung Panji, di sini, 19 Oktober lalu.

Dalam kejadian pukul 1 petang itu, suspek bertindak menyimpan syabu berkenaan dalam sekotak rokok sebelum menyerahkannya sendiri kepada polis ketika pemeriksaan dilakukan.

Sehubungan itu, polis menahan suspek dan merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM800.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *