Keputusan Jadikan Sandakan Bandar Raya Kedua Di Sabah Akan Diteruskan – Jaujan

KOTA KINABALU, 23 Okt: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri akan meneruskan usaha menjadikan Sandakan sebagai sebuah bandar raya di negeri ini.

Menterinya Datuk Jaujan Sambakong berkata sebelum ini beliau telah menangguhkan keputusan pengisytiharan Sandakan sebagai sebuah bandar raya yang dibuat oleh kerajaan negeri sebelum ini.

“Bila kerajaan negeri baharu ditubuhkan dan saya menerajui kementerian ini, saya tangguh dahulu keputusan pengisytiharaan itu (bandar raya) kerana saya lihat sendiri Sandakan tidak bersedia dan ada keupayaan menjadi bandar raya.

Menjadi bandar raya bukan sahaja lihat pembangunan fizikal tetapi mustahak ialah masyarakat di situ dan bergantung jumlah penduduknya lebih 500,000 orang,” katanya pada sidang media mengumumkan pelantikan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang baharu di sini, hari ini.

Timbalan Setiausaha Tetap kementerian itu Wong Foo Tin dilantik sebagai presiden MPS yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Jaujan yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata apa yang penting sebagai bandar raya ialah dari segi persekitaran dan keselamatan yang menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Justeru, beliau berharap Wong dapat meneruskan hasrat dan matlamat menjadikan Sandakan sebagai bandar raya kedua di negeri ini selepas Kota Kinabalu.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *