Bermain Muzik Di Pasar Tamu Rabu Tamparuli Jadi Sumber Rezeki Dua Rakan Buta

FOTO BERNAMA

TAMPARULI, 24 Okt: Enggan mengharapkan sumbangan ihsan orang ramai, dua sahabat cacat pengelihatan menjadikan pasar tamu Rabu pekan Tamparuli, di sini, sebagai lubuk meraih rezeki dengan bermain muzik dan menyanyi sejak 10 tahun lalu.

Hasil usaha Manang Ongkoh, yang menyanyi dengan iringan muzik keyboard sahabatnya Rio Solimbot, mampu meraih pendapatan sekitar RM100 hingga RM200 dalam lima jam membuat persembahan di kaki lima kedai di pasar tamu itu.

 Dua sahabat berasal dari Kota Belud yang pernah tinggal di Pusat Penempatan Orang Buta Tuaran itu, mahir mempersembahkan lagu-lagu berbentuk keroncong, sentimental dan rentak sumazau, bagi menghiburkan pengunjung pasar tamu Rabu Tamparuli.

Manang, 66, yang buta sejak berusia lima tahun berpunca demam panas, tidak pernah mengalah dalam menghadapi kehidupan sukar, dan masih mampu berusaha mencari rezeki sendiri dengan menjadi penyanyi jalanan.

“Walaupun pendapatan bermain muzik di pasar tamu Tamparuli tidak besar, saya mampu menyara isteri, Rusimah Tompios, 57, serta membiayai persekolahan enam anak, dan kini salah seorang daripada anak saya bekerja sebagai jururawat di Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau mengakui pernah mohon kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah dan eKasih untuk mendapatkan bantuan, namun permohonan itu tidak berjaya.

Rakannya, Rio, 56, yang masih bujang mahir bermain alat muzik keyboard dan gitar bass mula berpasangan dengan Manang untuk mengadakan persembahan di pasar tamu Rabu Tamparuli sejak 10 tahun lalu, menjadikan pekerjaan bermain muzik sumber pendapatan utamanya.

“Saya menerima bantuan RM165 sebulan dari Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah sejak sembilan tahun lalu, bolehlah sedikit sebanyak membantu meringankan beban hidupnya,” katanya.

Rio yang mendapat pendidikan sehingga darjah dua di Sekolah Orang Buta Princess In, Johor Baharu pada 1968, belajar bermain muzik sendirian dan pernah menganggotai kugiran Pusat Penempatan Orang Buta Tuaran.

“Hasil pendapatan bermain muzik di pasar tamu hanya cukup makan untuk membiayai kehidupan harian, selain membayar sewa bilik RM20 sebulan di Pusat Penempatan Orang Buta Tuaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah dapat menambah bantuan bulanan diberikan, memandangkan kos sara hidup kini yang semakin meningkat. 

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *