Rogol 3 Kali Anak Majikan, Buruh Ladang Dipenjara 40 Tahun & 24 Sebatan

Gambar Hiasan

SANDAKAN: Seorang buruh ladang kelapa sawit dihukum penjara 40 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan merogol anak majikannya.

Hakim Indra Ayub menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Ayub Darman, 25, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Menurut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun tujuh bulan di sebuah ladang di daerah ini pada 15 November 2017.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa sama pada 5 Jun tahun lalu di sebuah ladang di daerah ini.

Menurut pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa merogol mangsa sama di dalam bilik tidur di sebuah kampung di daerah ini, 5 Oktober tahun lalu.

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dihukum penjara 10 tahun dan enam sebatan bagi pertuduhan pertama, penjara 12 tahun dan lapan sebatan bagi pertuduhan kedua; serta penjara 18 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan ketiga.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman dari tarikh dia ditangkap.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan dengan alasan sudah menyesal dan berjanji akan berubah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mark Kenneth Netto, memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana ia membabitkan kesalahan serius terhadap kanak-kanak.

Sementara itu, tertuduh dijangka didakwa di mahkamah sama, esok, atas tiga lagi pertuduhan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan satu lagi kesalahan memasuki Sabah tanpa pas sah.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *