Dua Lagi Warden Penjara Ditahan Susulan Kematian Seorang Banduan Di Pusat Penjara Kepayan

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu menahan dua lagi warden penjara bagi membantu kes kematian seorang banduan lelaki dipercayai dipukul dengan objek tumpul di Penjara Pusat Kepayan, di sini, 4 Oktober lalu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 10 orang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kedua-dua warden penjara itu ditahan semalam untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Kedua-dua mereka direman hingga 25 Oktober ini manakala lapan tangkapan terdahulu reman akan disambung semula selama tujuh hari.

“Insyallah, dalam tempoh tujuh hari itu kita akan dapat kata putus sama ada kes itu ada perkembangan positif atau sebaliknya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, setakat ini siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada 17 Oktober lalu, SabahNewsToday melaporkan polis menahan lapan warden penjara bagi membantu kes kematian seorang banduan lelaki di Penjara Pusat Kepayan, di sini, 4 Oktober lalu.

Banduan berusia 36 tahun yang ditahan atas kesalahan dadah ditemui tidak sedarkan diri di dalam kawasan Penjara Pusat Kepayan, sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk rawatan.

Bagaimanapun doktor di HQE 1 mengesahkan banduan terbabit meninggal dunia.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala dan badan banduan terbabit dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul. -SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *