Lantikan Amarjit Tidak Jejas Imej & Kredibiliti Kerajaan Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal tidak melihat isu pelantikan Datuk Amarjit Singh sebagai Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan menjejaskan imej Kerajaan Negeri.

Beliau berkata, isu itu mungkin mendatangkan kesan namun, ia tidak dilihat sehingga mampu menjejaskan imej kerajaan.

Amarjit Singh

“Kemungkinan ada kesan tapi bukan hanya sebab satu pelantikan itu ia boleh menjejaskan imej Kerajaan Negeri yang ada.

“Kita sudah bagi makluman bahawa pelantikannya bermula sebagai pegawai kerajaan secara kontrak dan selepas itu barulah beliau dimasukkan untuk menjadi Pengarah JANS. Sekiranya itu dilakukan lebih awal maka, ia memang sesuai dengan peraturan yang ada,” katanya ketika ditanya mengenai kritikan dilemparkan Ketua Wanita PKR Sabah Rahimah Majid berkaitan isu pelantikan Amarjit Singh.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Kunjungan Hormat Persatuan Perusahaan Kayu Kayan Sabah (STIA) dan beberapa persatuan kayu kayan lain, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini pada Isnin.

Mohd Shafie, yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) berkata, sesiapa sahaja berhak menyuarakan pandangan masing-masing biarpun mereka berada dalam parti yang bekerjasama dengan WARISAN membentuk Kerajaan Sabah.

“Pada saya dia berhak untuk suarakan pandangannya. Kita tidak boleh sekat mana-mana pihak untuk menyuarakan pandangan. Kemungkinan mereka rasa itu betul tapi, kita tahu apa yang tidak betul.

“Saya tidak pernah menyatakan tentang keburukan dan perkara yang parti itu telah lakukan di peringkat negeri Sabah, banyak.

“Mereka sering menyuarakan reform (pembaharuan) harus dilakukan. Namun, pembaharuan yang macam mana mereka mahukan. Tiada pembaharuan yang perlu dibuat kerana jika dilihat ada pihak yang semalam kita berlawan tetapi mahu masuk balik jadi, buat apa mahu reform,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, beliau sentiasa mendengar pandangan semua pihak dan juga pandangan badan-badan tertentu namun, dalam masa sama kena lihat kerangka sedia ada kerana kerajaan mempunyai makluman dalaman yang membolehkan urusan pelantikan sebegitu diatasi.

Katanya, apa yang penting adalah masalah yang ada diselesaikan dengan sebaiknya.

Dalam laporan akhbar sebelum ini, Mohd Shafie menyatakan perlantikan Amarjit bukan menyalahi undang-undang sebaliknya pihak mahkamah hanya memutuskan pelantikan itu hanya bertentangan dengan Enakmen Bekalan Air Sabah 2003. Namun, tidak dinyatakan lantikan itu tidak sah.

Pada Ahad, Rahimah mengkritik tindakan kerajaan mempertikaikan pelantikan Amarjit yang dikatakan tidak sah di sisi undang-undang.

Katanya, pelantikan ahli WARISAN untuk mengetuai JANS dan keingkaran terhadap keputusan mahkamah telah menjejaskan kredibiliti dan integriti Kerajaan Negeri.

Rahimah berkata, maklum balas yang diterima di lapangan memperlihatkan isu itu telah merosakkan reputasi dan imej Kerajaan Negeri.

Menurutnya, kerajaan menunjukkan imej tidak baik keapda pelabur asing dan jika pelabur menjauhi Sabah, Ketua Menteri dan Kabinet Negeri harus bertanggungjawab.

Pada 9 Oktober, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengisytiharkan lantikan Pengarah JANS sebagai tidak sah.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *