Belanjawan 2020 Pastikan Sabah Dapat Semua, Bukan Sebahagian

Ma’mun Sulaiman

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat Sabah berharap janji-janji ‘indah’ yang diumumkan di dalam Belanjawan 2020 iaitu peruntukan besar kepada Sabah dapat disalurkan sepenuhnya bukan hanya sebahagian daripadanya.

Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman berkata, Belanjawan 2019 telah menunjukkan bahawa walaupun angka yang besar diumumkan, namun tidak semua peruntukan itu sampai ke negeri ini.

“Dalam belanjawan terdahulu, kita dapati hanya sebahagian daripada keseluruhan RM5 bilion peruntukan yang diturunkan, sekali gus membayangkan koordinasi sistem penyampaian yang masih lemah antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Kita berasa seperti menanggung kerugian dalam perkara sebegini, kerana angka besar yang disebut semasa pembentangan belanjawan tidak seindah hakikat yang berlaku, dan situasi sebegini menunjukkan masih belum menguntungkan Sabah sebagai rakan kongsi,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Ma’mun berkata, secara amnya, rakyat Sabah amat gembira dengan peruntukan besar yang disediakan tetapi pelaksanaannya perlu menyeluruh demi manfaat rakyat negeri ini.

Katanya, penurunan keseluruhan peruntukan itu penting memandangkan sehingga hari ini Sabah masih lagi ternanti-nanti pengumuman daripada Kerajaan Pusat untuk memberi royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada negeri ini.

Beliau berkata, walaupun banyak peruntukan diberikan, namun Belanjawan 2020 kurang memberikan tumpunan kepada aspek penjagaan keselamatan di pantai timur Sabah walaupun penguatkuasaan perintah berkurung masih berjalan.

Tegasnya, infrastruktur pasukan keselamatan di pantai timur Sabah masih tidak diperbaiki walaupun permohonan sudah dikemukakan sejak beberapa tahun lalu.

“Kita berharap kerajaan tidak terlepas pandang dengan keadaan prasarana atau pun kemudahan yang berstatus uzur dan tidak selamat untuk didiami oleh anggota pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan pantai timur Sabah.

“Misalnya, ada blok bangunan di Kompleks Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang tidak dihuni sepenuhnya kerana tidak selamat diduduki, malah terdapat 80 unit rumah yang hanya mempunyai dua bilik tidur yang dilihat tidak relevan untuk keselesaan anggota polis dan keluarga mereka.

“Malah, senjak 2014 lagi, hanya 16 rumah melibatkan lapan blok kediaman anggota berpangkat rendah Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau yang digunakan, dan 198 rumah lagi diisytiharkan tidak selamat untuk diduduki,” ujarnya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *