11 Individu Aktif Kes Pecah Rumah Dan Curi Sarang Burung Ditahan, Satu Lagi Masih Diburu Polis

PETER (tengah) menunjukkan gambar seorang lagi penjenayah dipercayai ketua Geng Peti Besi.

TAWAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu geng pecah rumah dan curi sarang burung walit selepas berjaya menahan lapan individu termasuk seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, di sini, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek yang berusia 19 hingga 47 tahun itu dan dikenali sebagai Geng Peti Besi, ditahan secara berasingan di beberapa lokasi sekitar daerah ini bermula 5 Oktober lalu sehingga semalam.

Beberapa peralatan yang dirampas daripada suspek Geng Peti Besi.

“Serbuan pertama dilakukan pada 2 Oktober lalu di Cowie Industrial Estate, Batu 3 1/2, Jalan Apas, membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan.

“Hasil daripada siasatan yang dilakukan, kami berjaya menjejak tujuh suspek lain termasuk seorang warga Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Suspek, Heng Mok Cheen, sedang diburu polis.

Tambahnya, polis turut merampas empat buah kenderaan, beberapa telefon bimbit dan peralatan besi dipercayai digunakan untuk memecah masuk kediaman mangsa.

“Berikutan penahanan kumpulan tersebut, polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes pecah masuk kediaman dan premis sarang burung walit sekitar Tawau membabitkan nilai kerugian lebih RM100,000.

“Selain itu, saya difahamkan kumpulan tersebut turut bergiat aktif dalam kes jenayah pecah rumah dan kecurian di daerah lain termasuk Kunak, Lahad Datu, Semporna serta Kota Kinabalu,” katanya.

Menurut Peter, pihaknya masih memburu seorang lagi suspek lelaki warga tempatan dipercayai ketua kumpulan penjenayah berkenaan.

“Dikenali sebagai Heng Mok Cheen atau Ah Cheen, 39, suspek dipercayai masih berada di negeri ini.

“Sehubungan itu, saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan agar menghubungi polis, bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanga, beberapa suspek yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes pecah rumah selain tiga daripada mereka didapati positif dadah jenis syabu.

Tambahnya, semua suspek direman sehingga esok mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Foto BESTAWAUfm
Foto BESTAWAUfm

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *