Kajian Semula Penggunaan Bot Pam Sedang Dijalankan – Polis Sabah

KOTA KINABALU: Polis Sabah masih menjalankan kajian berhubung penggunaan bot pam di negeri ini, termasuk berbincang dengan semua pihak berkaitan dalam isu berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata kajian semula itu untuk melihat sama ada penggunaan bot pam perlu diharamkan sepenuhnya atau dibenarkan dengan syarat tertentu.

Katanya, perbincangan mengenai isu itu turut membabitkan beberapa agensi berkaitan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Perikanan mengenai cara penguatkuasaan undang-undang berhubung penggunaan bot pam.

“Kita tidak mahu bertindak secara ‘unilateral’ (bersendirian)…kerana itu, kita perlu berbincang dengan semua pihak berkaitan untuk mendapat persetujuan bersama (perjanjian kolektif).

Ini kerana kita mahu membuat satu keputusan yang tegas. Kita tidak mahu hari ini haram, esok dibenarkan dan apabila ada kejadian, ia diharamkan semula.

“Justeru, kita berharap cadangan berikutan kajian semula yang kini sedang dijalankan akan dapat diserahkan dalam masa terdekat (kepada kerajaan negeri),” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Dua Hala Ketiga Pasukan Polis Marin (PPM) dan Polis Maritim Filipina di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Polis Maritim Filipina, Brig Jen R Win SA Pagkalinawan.

September lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, memberitahu kerajaan negeri akan mendapatkan laporan lengkap berhubung cadangan kajian semula penggunaan pam bot di negeri ini susulan kejadian penculikan di Pulau Tambisan Lahad Datu baru-baru ini.

Mohd Shafie berkata kajian itu termasuk kaedah penggunaan bot pam dan perbincangan dengan pihak berkaitan serta agensi keselamatan bagi mendapatkan pandangan mereka, termasuk Pesuruhjaya Polis Sabah juga akan membuat laporan kepadanya.

Untuk rekod, penggunaan bot pam di Sabah pernah diharamkan, namun dibenarkan semula pada tahun lalu.

Pada April 2016, kerajaan negeri terdahulu mengharamkan penggunaan bot pam dalam kalangan warga asing untuk meningkatkan keselamatan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Omar berkata penggunaan bot pam juga dilihat agak ekonomi terutama kepada nelayan kecil di negeri ini.

Mengenai mesyuarat itu, Omar berharap ia akan mengukuhkan kerjasama pasukan keselamatan kedua-dua negara dalam menangani pelbagai isu keselamatan khususnya di sempadan perairan Malaysia dan Filipina.

“Selain ancaman tradisional yang kita hadapi seperti rompakan di laut dan penculikan, kita juga membincangkan mengenai ancaman baharu seperti pencerobohan haram kapal dari negara lain ke wilayah kita untuk menangkap ikan di perairan kedua-dua negara.

“Sebab itu dalam mesyuarat ini, kita berharap akan dapat satu cadangan penyelesaian yang baik, sekali gus bawa kepada pemimpin di kedua-dua negara untuk dila ksanakan bagi menangani ancaman di sempadan perairan masing-masing,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *