Hasrat AirAsia Disambut Baik, Angkat Status Lapangan Terbang Tawau Bertaraf Antarabangsa

Nizam alu-alukan hasrat AirAsia untuk melancarkan penerbangan langsung antara Tawau dengan negara-negara Asia.

TAWAU: Hasrat syarikat penerbangan swasta tanahair, AirAsia untuk mewujudkan penerbangan langsung antara Tawau dengan negara-negara Asia disambut baik.

Hasrat itu juga dilihat bakal memberikan kelebihan kepada Lapangan Terbang Tawau (LTT) untuk dinaik taraf daripada lapangan terbang domestik kepada antarabangsa.

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mengalu-alukan hasrat itu dan menyifatkannya mampu merangsang sektor pelancongan dalam negara.

“Kita tahu bahawa bidang pelancongan adalah salah satu sumber ekonomi untuk negara, malah turut memberi limpahan pendapatan kepada masyarakat di sesebuah lokasi.

“Sama ada dalam bentuk pelancongan domestik atau luar negara, penerbangan langsung ke Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu harus kita sokong untuk dilaksanakan,” katanya.

Nizam berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas merasmikan Sabah Gaming Carnival anjuran Tawau Gamers Community (TGC) di sini, kelmarin.

Menurutnya, Lapangan Terbang Kota Kinabalu adalah lapangan terbang kedua paling sibuk di negara ini selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Baru-baru ini, LTT juga kita lihat mula menjadi tumpuan pelancong-pelancong dari luar negara khususnya China, dan sudah tiba masanya kemudahan di LTT diteliti semula.

“Kita harap Malaysian Airport Berhad (MAB) dan Kementerian Pengangkutan melihat kemungkinan untuk menjadikan LTT sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa.

“Kita yakin lebih-lebih lagi Menteri Pelancongan Seni dan Budaya serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berasal dari pantai timur.

“Kita ada kelebihan dan harus mengambil peluang ini untuk merealisasikan impian mengangkat taraf LTT sebagai lapangan terbang antarabangsa,” katanya.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *