Christina Beri Jaminan Pameran Art Connect Diadakan Di Balai Seni Lukis Sabah

 Christina (duduk, dua kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menyokong cadangan Pameran Seni Antarabangsa Rangkaian Laluan Sutera Baru (NSR) Asia Pasifik bagi mempamerkan ‘Art Connects’ yang pertama di Balai Seni Lukis Sabah pada 26 Oktober sehingga 26 November ini.

Menterinya Datuk Christina Liew memberikan jaminan itu ketika menerima kunjungan hormat dari delegasi NSR dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB) Cawangan Kota Kinabalu yang diketuai oleh Pengerusi Rangkaian NSR Prof Datuk Dr Wilson Yong di sini baru-baru ini.

“Aktiviti kreatif berkaitan dengan seni, penerbitan karya seni dan kebudayaan akan disokong oleh kementerian saya,” katanya.

Christina yang juga Timbalan Ketua Menteri turut memuji Rangkaian NSR yang mengambil inisiatif untuk menganjurkan pemeran seni antarabangsa dengan tema ‘Art Connects’.

Beliau juga menerima jemputan daripada pihak penganjur bagi merasmikan pelancaran pameran berkenaan pada 26 Oktober ini.

Ketika dalam taklimat itu, Wilson menjelaskan pameran itu akan menyaksikan sejumlah 150 hasil karya seni dalam bentuk media kontemporari dan tradisional akan dipamerkan. Ia melibatkan karyawan dari Sabah, negeri lain dalam Malaysia, Indonesia, Brunei, Belgium dan beberapa negara sepanjang laluan sutera.

“Selain menyediakan platform untuk interaksi kebudayaan secara formal, objektif pameran juga adalah bagi saling bertukaran kejayaan dalam kalangan artis itu sendiri.

“Ia juga untuk menghasilkan satu acara yang dapat membawa kepada kerjasama dalam kalangan karyawan khususnya dari negara sepanjang laluan sutera ini,” katanya.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *