Luka Lama Dipercayai Kesan Tembakan Ditemui Pada Punggung Gajah Pygmy

BANGKAI seekor gajah Pygmy Borneo dengan kesan tembakan dan gading hilang ditemui dalam sebuah ladang, di Beluran. NSTP/Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

BELURAN: Beberapa kesan luka lama dipercayai kesan tembakan ditemui pada bahagian punggung gajah Pygmy Borneo yang mati di kawasan ladang sawit, di sini semalam.

Bagaimanapun, kesan tembakan itu tidak menembusi bahagian kulit haiwan malang itu.

BANGKAI seekor gajah Pygmy Borneo dengan kesan tembakan dan gading hilang ditemui dalam sebuah ladang, di Beluran. NSTP/Ihsan Polis.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, berkata bangkai gajah itu ditemui pekerja ladang yang terhidu bau busuk di lokasi kejadian.

“Gajah itu dianggarkan berusia lingkungan 25 tahun dan mempunyai berat 2.5 tan serta berketinggian kira-kira 2.5 meter.

“Hasil bedah siasat menemui beberapa luka lama dipercayai kesan tembakan pada bahagian punggung haiwan itu, namun tidak menembusi bahagian kulit dan hasil pemeriksaan juga mendapati gadingnya sudah tiada,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Kasim berkata, punca kematian sebenar gajah itu masih belum dikenal pasti setakat ini.

“Setakat ini suspek belum dikenal pasti dan sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan dibawah seksyen 25(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memburu haiwan dilindungi sepenuhnya,” Katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *