Pekerja Kedai Rugi RM2,935 Selepas Disamun Tukang Masak

Gambar Hiasan

LABUAN: Pekerja kedai berdepan detik cemas apabila didatangi seorang lelaki sambil diacukan pisau sebelum melarikan rantai dan gelang emas yang dipakainya dalam kejadian samun di premis di Labuan, kelmarin

Dalam kejadian 11.10 pagi itu, wang tunai sebanyak RM235 yang disimpan di dalam laci turut dilarikan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian membabitkan seorang wanita warga Indonesia berusia 33 tahun yang disamun oleh seorang lelaki yang juga berusia 33 tahun.

“Ketika kejadian, mangsa berada di premis tempatnya bekerja, namun tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang bertindak mengacukan pisau ke arahnya.

“Suspek kemudian merentap rantai emas yang dipakai pengadu dan merampas gelang tangan emas serta mengambil wang tunai milik kedai terbabit sebanyak RM235 yang disimpan di dalam laci sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Muhamad Farid berkata, jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM2,935.

Ekoran kejadian itu, Muhamad Farid berkata, pada 2.10 pagi semalam, satu tangkapan dibuat terhadap suspek di dalam sebuah kapal.

“Suspek yang bekerja sebagai tukang masak disyaki terbabit dalam kes itu.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan rantai emas dan wang tunai sebanyak RM638,” katanya.

Katanya lagi, lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *