Jurupandu Selam Haram Pertaruh Nyawa Pelancong Di Semporna

Dahlan (tengah) selepas membuat laporan polis berhubung kegiatan pemandu selam skuba haram di perairan Semporna, semalam.

SEMPORNA: Tindakan segelintir pengusaha pelancongan mengunakan jurulatih selaman skuba atau divemaster tidak bertauliah dalam mengendalikan aktiviti menyelam di sini, diselar selepas didakwa mengabaikan keselamatan termasuk nyawa pelancong.

Perkara itu didedahkan menerusi satu video yang tular minggu ini, menunjukkan seorang jurulatih tidak mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan ketika membawa dua pelancong asing menyelam di kawasan perairan Pulau Timba-Timba.

Dahlan Mazin menggesa peruntukan perundangan bagi menangani masalah kehadiran pemandu penyelam tidak berlesen di Semporna.

Turut kelihatan lelaki itu tidak membawa tong oksigen sendiri sebaliknya hanya ‘menumpang’ tong yang dibawa pelancong terbabit.

Timbalan Presiden Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA), Dahlan Mazin berkata, tindakan itu ternyata tidak mematuhi peraturan ditetapkan kerana mengabaikan aspek keselamatan sehingga boleh mengancam nyawa pelancong dan penyelam terbabit.

“Hasil siasatan pihak kami, mendapati individu berkenaan tidak mempunyai lesen atau sebarang pentauliahan yang membolehkan dia menjalankan aktiviti menyelam.

“Sebenarnya ini bukan pertama kali berlaku, sebaliknya semakin banyak pengusaha pelancongan di sini menggunakan khidmat jurulatih penyelam haram kerana mahu mengaut lebih banyak untung,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pengusaha pelancongan perlu membayar komisyen sekitar RM75 ke RM200 kepada penyelam bertauliah berdasarkan aktiviti atau pakej berbanding RM10 ke RM40 kepada jurulatih selaman haram.

Pemandu penyelam tidak bertauliah tidak mematuhi SOP ketika melakukan aktiviti skuba di perairan Pulau Timba-Timba, Semporna, baru-baru ini.

“Ia menyebabkan pengusaha pelancongan mengambil kesempatan dengan jalan mudah dan murah menggunakan khidmat penyelam tidak berlesen sekali gus mengabaikan aspek keselamatan,” katanya.

Tambahnya, ketiadaan peruntukan perundangan yang khusus bagi kesalahan itu juga menyebabkan kegiatan itu semakin berleluasa.

“Jika berlaku kemalangan termasuk kematian, sudah tentu ia akan memberi kesan buruk kepada aktiviti menyelam, jurulatih penyelam bertauliah dan sektor pelancongan di sini sekali gus memberi impak negatif kepada negeri secara keseluruhan.

“Justeru, saya berharap pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta kerajaan negeri mengambil tindakan tegas dalam menangani masalah penyelam haram ini membabitkan penggubalan perundangan termasuk tindakan tegas kepada pengusaha pelancongan terbabit,” katanya.

Terdahulu, Dahlan dan beberapa ahli SPDA membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Semporna, berhubung video dan aktiviti penyelam tidak berlesen di sekitar perairan daerah ini, semalam.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *